Keindahan atau kecantikan itu adalah sesuatu yang abstrak serta bersifat subjektif, namun sekiranya aku mengatakan bahawa alam tumbuhan adalah di antara kecantikan yang terdapat di Malaysia, pasti ramai yang akan bersetuju.
Sememangnya dunia
flora begitu mengiurkan sekali, terutama sewaktu musim bunga. Walaupun Malaysia
tidak mempunyai 4 musim, namun
kebanyakan tumbuh-tumbuhan di Hutan Hujan Khatulistiwa atau Hutan Hujan Tropika
akan berbunga mengikut musim. Musim yang dimaksudkan adalah bulan-bulan
tertentu yang berkait rapat dengan pergerakan angin yang membawa hujan.
Aku sangat
meminati dunia tumbuhan, tidak hairanlah, riadhah ke kawasan pergunungan malah
menjalin percintaanku terhadap alam flora dengan lebih mendalam. Mencintai `sesuatu`
padaku adalah untuk menghargainya. Tidak semestinya kita mesti mendapatkannya
agar ia berada di sisi kita sepanjang masa dan ketika. Cukup dengan beberapa
keping foto atau catatan tentang kecantikannya yang dicoret dengan bahasa yang
indah, bagiku itu adalah memadai. Tidak perlulah untuk aku memetik atau
menggundas bunga tersebut dari habitatnya semata-mata kerana ingin dikongsikan
`kecantikannya` dengan teman atau keluargaku.
Menghargai ia
sebagai salah satu makhluk kejadian Allah, serta menyedari keindahan serta
kecantikannya hanya bermakna di tempat ia ditemui menjadikan aku seorang
penyair yang dapat merakamkan keindahan serta kecantikannya di dalam bentuk
syair dan puisi, gurindam serta seloka. Bagiku, dengan menghargai anugerah tuhan
ini, tanpa mengusik walau seurat daun sekalipun pada batang tubuhnya menjadikan
aku seorang perindu yang apabila ada sahaja pendaki yang melewati kawasan
tersebut, pasti akan kutanyakan tentang keadaan tumbuhan itu. Adakah ia masih
ada di situ, sudah berbungakah ia ? Dapatkah kau hidu keharumannya ?


Aku amat berharap agar keindahan serta kecantikan anugerah Ilahi itu dapat dibiarkan di tempat asalnya selama mana masa tidak merubah keadaannya. Biarlah ia terus berbunga serta berkembang biak. Nikmatilah kecantikannya, tetapi jangan sekali-kali kau akhiri kehidupannya.
Bunga yang cantik usah dipetik,
Biar kembangnya kekal berseri,
Lihat yang cantik usah dicarik,
Biar cantiknya kekal abadi.



Persembahan yang menarik..
ReplyDeleteTerima kasih, he he he....
ReplyDelete