Keindahan atau kecantikan itu adalah sesuatu yang abstrak serta bersifat subjektif, namun sekiranya aku mengatakan bahawa alam tumbuhan adalah di antara kecantikan yang terdapat di Malaysia, pasti ramai yang akan bersetuju.
Sememangnya dunia
flora begitu mengiurkan sekali, terutama sewaktu musim bunga. Walaupun Malaysia
tidak mempunyai 4 musim, namun
kebanyakan tumbuh-tumbuhan di Hutan Hujan Khatulistiwa atau Hutan Hujan Tropika
akan berbunga mengikut musim. Musim yang dimaksudkan adalah bulan-bulan
tertentu yang berkait rapat dengan pergerakan angin yang membawa hujan.
Aku sangat
meminati dunia tumbuhan, tidak hairanlah, riadhah ke kawasan pergunungan malah
menjalin percintaanku terhadap alam flora dengan lebih mendalam. Mencintai `sesuatu`
padaku adalah untuk menghargainya. Tidak semestinya kita mesti mendapatkannya
agar ia berada di sisi kita sepanjang masa dan ketika. Cukup dengan beberapa
keping foto atau catatan tentang kecantikannya yang dicoret dengan bahasa yang
indah, bagiku itu adalah memadai. Tidak perlulah untuk aku memetik atau
menggundas bunga tersebut dari habitatnya semata-mata kerana ingin dikongsikan
`kecantikannya` dengan teman atau keluargaku.





Aku amat berharap agar keindahan serta kecantikan anugerah Ilahi itu dapat dibiarkan di tempat asalnya selama mana masa tidak merubah keadaannya. Biarlah ia terus berbunga serta berkembang biak. Nikmatilah kecantikannya, tetapi jangan sekali-kali kau akhiri kehidupannya.
Bunga yang cantik usah dipetik,
Biar kembangnya kekal berseri,
Lihat yang cantik usah dicarik,
Biar cantiknya kekal abadi.
Persembahan yang menarik..
ReplyDeleteTerima kasih, he he he....
ReplyDelete