Tuesday, January 14, 2014

Gunung Liang .... sebuah pengalaman yang baru.

Di Kem Renes atau dikenali sebagai Kem 7E oleh
pendaki lain.
Pengalaman asing
Mendaki serta pendakian di Gunung Liang adalah merupakan suatu pengalaman yang agak berbeza juga yang telah aku alami. Tidak pernah seumur hidupku berhadapan atau berhubung dengan makhluk dari alam lain, namun di sini telah berlaku sesuatu yang agak asing daripada pengalaman pendakian yang telah aku tempuhi sebelum ini.
Kisah bermula pada hari pertama kami memasuki hutan simpanan tersebut. Aku telah melalui pengalaman dua kali di`poke` atau dicuit oleh `sesuatu`. Pada mulanya aku menyangka hanya sentuhan dari peralatan yang kubawa pada beg sandang, namun cuitan kedua yang aku alami ialah sewaktu berada di Kem Sungai Begil, di mana  aku hanya bertemankan sebatang pancing sahaja , itupun berada pada tangan dan bukan di bahagian belakang.
Sungai Begil adalah nama yang diberi oleh orang asli suku Semai yang mendominasi kawasan tersebut. Banyak cerita yang aku dengar dari mereka tentang Gunung Liang dan ternyata gunung tersebut menyimpan banyak misteri serta dianggap `suci` atau `keras` oleh masyarakat orang asli tersebut.
Aku agak terkilan dengan sikap para pendaki yang dengan wewenangnya menukar nama atau identiti sesuatu tempat atau lokasi pada kawasan perkhemahan. Sepertimana kita memelihara alam, begitu jugalah dengan sejarah serta peristiwa yang pernah berlaku di situ haruslah kita pelihara bersama. Nama yang diberikan oleh kaum terdahulu (di dalam entri ini merujuk kepada suku Semai) yang pernah sampai atau menghuni kawasan persekitaran, sangat signifikan dengan jiwa atau semangat atau `makhluk` yang turut berada sama di kalangan mereka di kawasan tersebut. Nama atau panggilan itu biasanya merujuk kepada apa atau siapa yang dinamakan dengan nama yang sedemikian.
Sebagai pendaki yang menumpang lalu, kita seharusnya mengetahui sejarah asal yang terdapat di situ kerana ia ada kaitan dengan kehadiran kita di situ.
Berhati-hatilah kerana sejarah kebiasaannya berulang. Sekiranya ia terjadi, pengetahuan sedemikian dapat membantu kita di dalam mengetahui rahsia sebenar yang terdapat di kawasan tersebut.
Pengalaman aku tidak berakhir dengan hanya dicuit sahaja. Sewaktu menuruni puncak, kami telah kelewatan sehingga menyebabkan kami terpaksa mengharungi malam. Sewaktu di akhir penurunan sekitar jam 9 malam, sewaktu berada di tebing Sungai Begil atau panggilan pendaki lain `Lubuk Hantu`, aku telah terlihat 3 susuk
entiti yang sangkaku adalah Langsuir. Namun aku hanya berdiam diri, kerana aku maklum terhadap jarak penglihatanku yang kurang baik.

Sejuk....
Aku hanya memerhatikan sahaja entiti tersebut tanpa menimbulkan sebarang prasangka di dalam diri, sehinggalah sewaktu aku melintasi tali yang merintangi sungai.... Dengan tidak semena-mena, susuk terdekat yang berada dengan kami di hujung sungai sebelah sana, perlahan-lahan bergerak ke arah belakang batu besar. Barulah aku menyimpulkan bahawa pada malam tersebut aku telah melihat salah satu daripada kejadian Allah swt yang Maha Kaya. ..... hantu rupanya kau. He he he, padanlah di namakan kawasan kem ini sebagai `Lubuk Hantu`....
Segala yang berlaku telah kukongsikan bersama grup pendakian kami. Apapun ini hanyalah sebahagian daripada misteri yang terdapat di situ. Bertakwalah kepada Allah kerana itulah sebaik-baik sifat untuk menghadapi segala yang terjadi. Wallahualam.
 
 
 
Berjalan malam turuni puncak,
Harap selamat dari yang Esa,
Siang dan malam kita bergerak,
Negeri akhirat tempat akhirnya.
 






Sunday, April 28, 2013

Mengatasi Kekecewaan


Kadangkala hidup kita dilanda kecewa. Atas banyak sebab perkara ini boleh terjadi. Mungkin kerana gagal dalam mata pelajaran yang paling kita suka, dimarahi oleh guru yang paling kita sayangi, berpisah dengan teman yang karib, ditinggalkan sidia, kawan yang berpaling tadah...... dan seribu satu macam lagi sebab serta alasan yang munasabah untuk membuat kita merasa kecewa.
Kekecewaan adalah sebahagian daripada proses kehidupan. Melalui kekecewaanlah kita belajar erti persahabatan, kesetiaan, pengorbanan malah banyak lagi. Kekecewaan sekiranya dilihat dari sudut yang positif mampu memberikan kita suatu kekuatan yang baru untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Ujian menjadikan kita lebih matang serta berani untuk menempuh kehidupan.
 

Tuhan memberikan ujian kepada hambaNya supaya berfikir serta merenung tentang kebesaranNya. Tuhan memberikan ujian kepada kita bukan untuk menjadikan kita semakin lemah, tetapi sebaliknya, dan yang paling menarik ialah di sebalik setiap ujian ada kebaikan yang tersembunyi.

Jawaban Al-Quran terhadap pertanyaan manusia tentang ujian. Manusia bertanya: "Kenapa aku diuji?" Al-Quran Menjawab: "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi?" (Al-Quran Surat Al-Ankabut Ayat 2)

"Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Quran Surat Al-Ankabut Ayat 3.

Melihat kejadian alam. Betapa dedaunan di pepohonan sentiasa akan bertukar silih berganti. Daun yang tua akan digantikan oleh yang muda, ibarat kata pepatah “Patah tumbuh hilang berganti”. Kehijauan yang diselangi dengan warna merah jambu dari pucuk serta tunas yang muda menjadikan `kehidupan` di kawasan pergunungan suatu yang indah dipandang mata. Rasailah kekecewaan dan belajarlah untuk menghargainya sebagaimana alam yang dijadikan dengan pelbagai warna yang menarik pandangan.

 
Tingginya sungguh pucuk Meranti,
Bergoyang-goyang di waktu pagi,
Patahkan tumbuh hilangkan berganti,
Kasih yang hilang boleh dicari.

Bunga Kemboja di dalam hutan,
Banyak Tempua bersarang di dahan,
Hati kecewa usah ikutkan,
Kelak binasa tubuh dan badan.

Awan kelam tanda nak hujan,
Unggas terbang berkawan-kawan,
Lihat alam kejadian Tuhan,
Di situ banyak tamsil misalan.


Sebuah Ikatan


         Mengembara, mendaki, berkhemah bersama dapat membina suatu ikatan di antara dua atau sekumpulan manusia. Ikatan yang terbina dapat menghasilkan sebuah perhubungan yang akrab serta mantap. Ini berlaku sedemikian kerana dunia riadhah atau rekreasi adalah suatu alam yang mencabar kesabaran, kekuatan, semangat kerjasama, persahabatan serta nilai kepimpinan. Mengharungi aktiviti riadhah bersama mampu menjalinkan ikatan yang lebih telus serta tulin. Tidak ada `talam dua muka` atau `enau dalam belukar`. Kepimpinan yang betul dapat menghidupkan semangat `hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah` ataupun `serumpun bak serai seliang bak tebu`.
         Perkongsian adalah nilai yang sangat penting untuk membentuk sebuah ikatan yang berpanjangan dan keikhlasan adalah simpulan pada ikatan tersebut.

Penyembuhan Semulajadi



Pemandangan dari Gunung Bunga Buah
 Kehidupan sehari-hari  kadangkala menyebabkan kita menjadi letih, kurang bertenaga serta tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan.  Rakan-rakan juga kadangkala sukar untuk memahami diri kita. Di waktu ini kita amat memerlukan sokongan serta motivasi. Sekiranya anda seorang yang bersifat terbuka, mungkin anda bersedia untuk berkongsi  masalah yang dihadapi dengan rakan atau teman terdekat. Tetapi seandainya anda seorang yang bersifat tertutup, maka aktiviti riadhah mampu memberikan suatu ruang atau `escapism` daripada masalah yang melanda.

Penyembuhan Semulajadi
 
      Alam mempunyai  caranya yang tersendiri untuk `mendengar` rintihan serta keluhan anda.  Kehijauan serta kesegaran alam dapat merawat luka yang kita rasai. Kedinginan udara pergunungan dapat menyejukkan hati yang sedang membara atau kebencian yang menyelubungi. Kehijauan yang malar sepanjang tahun mampu untuk menyejukkan pandangan yang dikuasai oleh api kemarahan serta dendam kesumat. Bunyi mergastua yang memenuhi ruang angkasanya mampu menghiburkan hati yang dirundung gelisah serta kekecewaan. Perjalanan mentari  naik serta turun setiap hari mampu melemparkan kedamaian di dalam hati yang kesepian serta kekosongan. Begitulah kehebatan kejadian Allah SWT yang Maha Menjadikan. Melihat pada alam mampu memberikan `penyembuhan secara semulajadi` kepada manusia. Betapa kita masih lagi tercari-cari penenang di dalam kehidupan sedangkan ketenangan itu sendiri sudah sekian lama berada di sekeliling kita.

 
       Namun begitu, tidak semua manusia mampu untuk menjalani `rawatan` secara alami ini. Selain memerlukan kesihatan fizikal, ia juga berkehendakkan kepada semangat yang waja serta kental di dalam `proses rawatan` yang dijalani. Kelebihan yang diberikan selain daripada mampu merawat `kesakitan dalaman`, ia juga mampu memberikan tubuh badan yang sihat serta pengalaman yang amat berharga di dalam kehidupan.

 
Alami sendiri, terapi alam...

Bunga Cengkih harum baunya,
Bunga Melati putih warnanya,
Walaupun letih badan merasa,
Di dalam hati tetap gembira.

Thursday, April 11, 2013

Belajar Menghargai

 

 
     Keindahan atau kecantikan itu adalah sesuatu yang abstrak serta bersifat subjektif, namun sekiranya aku mengatakan bahawa alam tumbuhan adalah di antara kecantikan yang terdapat di Malaysia, pasti ramai yang akan bersetuju.

     Sememangnya dunia flora begitu mengiurkan sekali, terutama sewaktu musim bunga. Walaupun Malaysia tidak  mempunyai 4 musim, namun kebanyakan tumbuh-tumbuhan di Hutan Hujan Khatulistiwa atau Hutan Hujan Tropika akan berbunga mengikut musim. Musim yang dimaksudkan adalah bulan-bulan tertentu yang berkait rapat dengan pergerakan angin yang membawa hujan.

     Aku sangat meminati dunia tumbuhan, tidak hairanlah, riadhah ke kawasan pergunungan malah menjalin percintaanku terhadap alam flora dengan lebih mendalam. Mencintai `sesuatu` padaku adalah untuk menghargainya. Tidak semestinya kita mesti mendapatkannya agar ia berada di sisi kita sepanjang masa dan ketika. Cukup dengan beberapa keping foto atau catatan tentang kecantikannya yang dicoret dengan bahasa yang indah, bagiku itu adalah memadai. Tidak perlulah untuk aku memetik atau menggundas bunga tersebut dari habitatnya semata-mata kerana ingin dikongsikan `kecantikannya` dengan teman atau keluargaku.

     Menghargai ia sebagai salah satu makhluk kejadian Allah, serta menyedari keindahan serta kecantikannya hanya bermakna di tempat ia ditemui menjadikan aku seorang penyair yang dapat merakamkan keindahan serta kecantikannya di dalam bentuk syair dan puisi, gurindam serta seloka. Bagiku, dengan menghargai anugerah tuhan ini, tanpa mengusik walau seurat daun sekalipun pada batang tubuhnya menjadikan aku seorang perindu yang apabila ada sahaja pendaki yang melewati kawasan tersebut, pasti akan kutanyakan tentang keadaan tumbuhan itu. Adakah ia masih ada di situ, sudah berbungakah ia ? Dapatkah kau hidu keharumannya ?



    Aku amat berharap agar keindahan serta kecantikan anugerah Ilahi itu dapat dibiarkan di tempat asalnya selama mana masa tidak merubah keadaannya. Biarlah ia terus berbunga serta berkembang biak. Nikmatilah kecantikannya, tetapi jangan sekali-kali kau akhiri kehidupannya.




Bunga yang cantik usah dipetik,

Biar kembangnya kekal berseri,

Lihat yang cantik usah dicarik,

Biar cantiknya kekal abadi.

 











Wednesday, April 10, 2013

Bersyukur

Gonggok Gergasi - Gunung Nuang

Anak Ikan - Sungai Samak
      Kehidupan adalah suatu anugerah yang tidak ternilai. Allah SWT telah menjadikan pelbagai jenis makhluk di muka bumi ini. Ada yang tinggal di dalam air, ada yang merayap serta melata di atas permukaan bumi dan ada juga sebahagiannya yang berada di ruang udara. Kesemuanya adalah makhluk Allah, sepertimana kita juga.

     Aktiviti riadhah akan merapatkan lagi kita dengan mereka, terutamanya apabila kita menjalani  riadhah tersebut di dalam habitat asal mereka iaitu di hutan belantara. Di sini kita belajar untuk berkongsi ruang dengan mereka. Melihat bagaimana mereka hidup serta mendapatkan makanan dalam keadaan serta cuaca yang tidak menentu. Lihatlah bagaimana makhluk tuhan ini dapat menyesuaikan dirinya dengan persekitaran yang lasak serta mencabar. Hati kecil kita akan berkata betapa syukurnya kita terhadap Allah SWT kerana dikurniakan kehidupan dengan segala kemudahan yang dapat kita manfaatkan sebaik-baiknya.
Kura-kura Emas - Gunung Bunga Buah
      Namun, apa yang hati kecil kita mungkin tidak tahu ialah, walaupun kita beranggapan diri kita jauh lebih baik daripada makhluk-makhluk tersebut tetapi kita sangat jarang atau mungkin tidak pernah mensyukuri apa yang kita perolehi sedangkan bagi makhluk-makhluk tersebut, sepanjang kehidupan mereka, mereka sentiasa bertasbih memuji serta mengingati Allah SWT dengan cara mereka sendiri.

Labah-labah Gergasi - Gunung Bunga Buah












Syair Kehidupan

Sungguhlah tinggi puncak kulihat,
Tumbuhnya subur lumut dan kulat,
Baiklah diri menjadi ulat,
Jika bersyukur tersangat berat.

 Mari mendaki puncak dunia,
Setinggi awan engkau berada,
Apalah erti jadi manusia,
Kepada Tuhan sentiasa lupa.

Tinggi menjulang aduhai dinda,
Puncaknya Nuang jika dipanjat,
Sungguhlah malang hidup di dunia,
Jika gelumang dosa maksiat.

 

Tuesday, April 9, 2013

Keyakinan Mendaki Ledang

Pemandangan berlatarkan puncak Gunung Ledang
     Gunung Ledang adalah gunung pertama yang aku daki. Pengalaman pertama sudah tentu mengajar kita banyak perkara di dalam kehidupan. Berbekalkan minat serta keyakinan yang tinggi, akhirnya pengalaman pertama itu menjadi suatu pengalaman yang sungguh bermakna bagi diriku.   
       



     Gunung Ledang mempunyai ketinggian sebanyak 4,187 kaki dari aras laut. Gunung yang terletak di antara 3 negeri  (Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) itu ternyata sangat terkenal di alam Melayu dengan kisah peminangan puteri Gunung Ledang. Selain itu gunung itu dikatakan menyimpan banyak misteri. Aku ketika itu baru berusia 15 tahun dan baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Aku telah dipelawa untuk turut serta di dalam aktiviti tersebut oleh Cikgu Dali yang merupakan pemimpin pengakap sekolah ketika itu. Alhamdulillah kedua orang tuaku telah membenarkan aku untuk turut serta.



Menikmati makan tengah hari di Padang Batu, Asahan.




     Apa yang ingin kukongsikan pada entri kali ini adalah berkaitan sifat yakin. Setiap insan perlu sikap ini di dalam kehidupan sekiranya mereka ingin mengecapi nikmat kejayaan. Keyakinan adalah inti pati terhadap azam serta cita-cita. Sekiranya kita tidak yakin, mustahil bagi kita untuk mencapai keinginan, azam  maupun cita-cita yang diidamkan.


    Mengingat kembali pengalamanku sewaktu kali pertama membuat pendakian, menjadikan aku tersenyum sendirian kerana keinginan serta kemahuan yang disertai keyakinan yang tinggi akhirnya menjadikan pendakian itu suatu kenyataan. Kenyataan yang menjadi nostalgia di dalam hidupku.


Syair Sifat Yakin.


Puteri bermain di pinggir kali,
 Sangkut di kail seekor Keli,
Kalaulah yakin di dalam diri,
Benda mustahil boleh dicari.
Sungguhlah tinggi puncak didaki,
Tempat temasya mambang dan pari,
Yakin yang tinggi sukar dicari,
Kerana temannya sifat berani.

Cuaca dingin di puncak tinggi,
sejuk dan basah sepanjang hari,
Walaupun yakin pakaian diri,
Kepada Allah berserah diri.